Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada AFS Malaysia kerana memberi penghormatan dan kepercayaan kepada saya dan keluarga sebagai host family untuk berkongsi pengalaman sepanjang penglibatan memelihara ‘anak angkat’antarabangsa ini. Alhamdulillah saya merasa bersyukur dan terharu apabila dipertemukan dengan Sdr Azmi bin Abdullah selaku AFS Perlis Chapter. Ketika itu buat pertama kalinya saya berpeluang menjadi keluarga tuan rumah (host family) kepada seorang pelajar berasal daripada Denmark iaitu Miss Sandra Petersen (Oktober 2013-Jun 2014). Peluang tersebut saya dan keluarga raikan dengan rasa gembira.

Kami berkongsi budaya yang berbeza dalam suasana yang sungguh harmoni. Pertukaran budaya ini kami jadikan sebagai satu perkongsian yang amat bermakna sehingga wujudnya keakraban dan kemesraan yang tidak berbelah bahagi. Sandra seorang pelajar yang tekun dan berdikari walaupun agak pemalu. Sentiasa bersemangat dalam mempelajari sesuatu perkara, rajin membantu saya melaksanakan kerja-kerja dapur terutamamya dan mudah memahami sebarang perkara yang kami ajarkan. Saya bukan sekadar memelihara tetapi mendidik beliau tentang adat dan budaya Malaysia dan saya menganggap beliau sebahagian daripada keluarga kami.

Namun saya dan keluarga akur, saat perpisahan pasti tiba. Tidak dinafikan wujud rasa hibadan sayu ketika tiba hari keberangkatan pulang anak angkat saya ini. Walaupun berada jauh di negara masing-masing, tetapi hubungan kami masih akrab dan mesra. Sentiasa ada khabar dan berita yang menarik untuk dikongsi bersama. Manakala pengalaman kedua pula, apabila saya dan keluarga sekali lagi diberi kepercayaan untuk memelihara seorang lagi anak angkat antarabudaya ini yang berasal daripada Italy iaitu Miss Aurora Bordin (July 2015-Jun 2016). Saya menganggap Aurora seperti anak-anak lain dalam keluarga sendiri. Seluruh keluarga kami meraikan kehadiran beliau dengan rasa gembira.

Sepertimana Sandra, Aurora juga seorang pelajar yang baik. sentiasa memahami situasi kami sekeluarga, mudah mempelajari sesuatu perkara yang diajarkan, mempunyai displin diri yang baik, sentiasa bersemangat tentang budaya Malaysia dan sangat berdikari. Mudah dan serasi dengan setiap masakan yang saya dan keluarga sediakan dan menghormati kami sebagai Muslim. Sesuatu yang menarik tentang Aurora ini ialah apabila beliau sendiri mencari satu nama Melayu untuk dirinya. Akhirnya, saya dan keluarga memanggil dan mengingatinya dengan nama Yusra.Terus terang saya katakan, setiap kali mengingati dan mengenangi anak-anak angkat saya ini hati saya menjadi rindu. Kami terpisah jauh namun hati kami satu. Saling mengingati antara satu sama lain.

Saya bersedia memelihara anak angkat antarabudaya ini sebagai satu cara untuk berkongsi budaya dan pemikiran yang baik. Menghormati budaya yang berbeza dan menghargai persamaan. Selain menjadi host family, saya juga sentiasa menerima kehadiran pelajar antarabudaya yang terdiri daripada kalangan sukarelawan. (umur 21 tahun dan keatas). Kebiasaannya kami sekeluarga terima ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Setakat hari ini mahupun di hari mendatang saya hanya mengharapkan seorang anak angkat antarabudaya dari kalangan perempuan sahaja. Ini memandangkan saya mempunyai anak perempuan dalam keluarga. Justeru saya mengambil langkah menghormati keutamaan beliau. Tidak dinafikan apabila kita berkongsi tinggal dibawah satu bumbung, pasti ada kekhilafan yang berlaku. Namun bagi saya dan keluarga, kita harus matang dan berfikiran positif terhadap sesuatu masalah. Bertindak dengan rasional bukan berlandaskan emosi semata-mata.